Perlawanan timbal balik untuk pusingan suku akhir Piala FA baru sahaja melabuhkan tirainya dengan Pasukan Kelantan, Felda United, Pahang dan JDT 1 telah melayakkan diri untuk beraksi di peringkat separuh akhir. Namun, apa yang menjadi tumpuan ialah prestasi pengadil yang menjadi rungutan dan kritikan jurulatih pasukan yang tewas. Sudah menjadi kebiasaan bagi bola sepak di Malaysia untuk merungut apabila kalah namun kali ini saya melihat beberapa rungutan jurulatih ada logiknya apabila dikaitkan dengan prestasi pengadil semasa mengadili perlawanan. Menerusi pengamatan saya semasa menonton salah satu perlawanan suku akhir, pengadil sememangnya ada melakukan beberapa kesalahan yang ketara dan turut kurang "alert" dengan beberapa insiden lakonan pemain.
Beberapa orang jurulatih yang melahirkan rasa tidak puas hati dengan keputusan pengadil tidak akan dapat mengubah keputusan perlawanan namun situasi ini seharusnya menjadi perkara yang perlu diambil berat oleh FAM untuk sentiasa memantau prestasi para pengadil yang mengadili perlawanan di Liga Malaysia. Sememangnya pengadil adalah manusia biasa yang punya hati dan perasaan apabila di"provokasi" oleh penonton serta para pemain namun pengadil seharusnya bersedia sepenuhnya sebelum perlawanan dan bersikap profesional apabila berada di dalam padang. Pengadil tidak harus takut untuk membuat keputusan yang adil kerana pengadil akan sentiasa diiringi oleh Polis apabila keluar daripada stadium sehingga ke Lapangan Terbang.
Saya turut tidak bersetuju dengan tindakan beberapa kelab penyokong yang melakukan perhimpunan selepas perlawanan untuk membantah keputusan pengadil kerana ianya tidak akan mengubah keputusan perlawanan. Sebaliknya, ianya hanya akan membawa tindakan tatatertib kepada persatuan negeri yang berkenaan. Saya lebih setuju sekiranya kelab penyokong bertindak lebih rasional dan menyuarakan dengan saluran yang betul seperti mengadakan perjumpaan dengan persatuan negeri untuk membuat bantahan rasmi kepada FAM. Selepas itu, pihak persatuan negeri boleh mengadakan sidang media untuk memaklumkan bantahan rasmi telah dilakukan dan secara langsung akan membuatkan FAM bertindak terhadap sebarang aduan yang dilakukan.
Apa yang perlu dilakukan oleh FAM sekarang ialah mengumpulkan semua pengadil berkelayakan yang ada dan duduk berbincang bagaimana untuk mengatasi situasi kebencian penyokong kepada pengadil yang semakin meruncing pada masa kini. Sejujurnya, meskipun saya hanya pernah menjadi pengadil semasa menuntut di salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi, saya turut sedih apabila melihat pengadil yang melakukan pemeriksaan padang dan memanaskan badan diejek oleh para penyokong (mesti cacian dan makian turut berada di situ). FAM harus mengubah pandangan para penyokong yang semakin hilang kepercayaan terhadap kredibiliti FAM dalam mengendalikan sesebuah Liga Tempatan. Pendek kata, tindakan FAM haruslah seperti menarik benang yang basah, benang tak putus tepung tak tumpah. Bertindaklah FAM untuk kesejahteraan bola sepak negara kita.
No comments:
Post a Comment